ANIMASI GAMBARKAN WAJAH PARA NABI HARAM

KUALA LUMPUR: Penzahiran rupa fizikal bagi menggambarkan Nabi Allah adalah haram di sisi agama Islam.

Ini dibimbangi dapat memesongkan akidah khususnya bagi kanak-kanak kerana ia mencetus kekeliruan mengenai elemen yang ditonjolkan dalam sesebuah animasi, walaupun dapat menarik minat dalam mengetahui tentang sirah Islam.

Pendakwah, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berharap agar pemilik akaun animasi tidak memikirkan keuntungan semata-mata, malah segera memadam video itu di saluran Youtube mereka.

“Bagi mereka yang melakukan filem atau buat animasi muka nabi semua ini, ustaz nasihatkan untuk buang atau keluarkan dari laman sosial.

“Kerajaan boleh bekerjasama untuk sekat akaun mereka supaya tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain”, katanya.

Para alim ulama turut menegaskan bahawa perbuatan itu merupakan satu pembohongan yang besar dan lebih buruk, ia boleh menyebabkan kanak-kanak yang menontonnya keliru jika mereka percaya bahawa itu adalah gambaran sebenar para Nabi.

Baru-baru ini wujud video animasi yang berdurasi 10 hingga 30 minit dan telah meraih lebih sejuta tontonan.

Lebih membimbangkan, video animasi tersebut menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami oleh kanak-kanak.

Antara syor yang diberikan kepada mereka yang membuat animasi atau kisah para nabi adalah dengan merujuk kepada orang yang pakar dalam bidang agama supaya tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh agama.

Selain itu, watak para Nabi tidak perlu dilakonkan, sebaiknya gambaran tersebut boleh diputihkan atau tidak jelaskan agar tidak dapat memberi gambaran wajah seorang manusia biasa. – AlHijrah Online

Leave a Reply