INSTITUSI KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH AKAN TERUS DIPERTAHAN – PM

KUALA LUMPUR: Institusi kehakiman dan perundangan syariah perlu terus dipertahan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahbaikan secara berterusan akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya.

“Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa komited dalam menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

“Ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah Muhyiddin beliau sedar tugas dan tanggungjawab para hakim syarie dan pegawai syariah tidak mudah dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.

Namun beliau berharap tugas tersebut dapat disempurnakan dengan sabar, ikhlas dan berintegriti.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Sepang, Selangor.

Program tiga hari berakhir esok anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada hakim syarie dan pegawai syariah dari seluruh negara, untuk bertukar pandangan dalam usaha memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan syariah.

Persidangan turut disertai pengamal perundangan syariah dari Singapura, Brunei dan Indonesia menerusi sidang video. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply