
SUBANG: Tindakan seorang lelaki yang mengalihkan papan tanda jalan raya yang tumbang di atas jalan raya, malam tadi mendapat pujian ramai di media sosial.
Dalam rakaman berdurasi 30 saat berkenaan, lelaki itu dilihat bertindak mengalihkan halangan tersebut demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Perbuatan itu mengingatkan masyarakat kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA.
Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Aku melihat seorang lelaki bersenang-senang di dalam syurga hanya kerana dia telah memotong (dahan) pokok yang berada di tengah jalan (daripada) menyakiti orang (yang melalui jalan itu).” (Riwayat Muslim)
Hadis tersebut memperlihatkan betapa Islam meletakkan nilai yang tinggi terhadap usaha menghilangkan mudarat daripada orang lain.
Meskipun amalan itu kelihatan kecil pada pandangan manusia, namun kesannya kepada masyarakat boleh menjadi besar bahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Dalam konteks kehidupan moden, halangan di jalan raya bukan sahaja boleh menyebabkan kesulitan, malah berpotensi mengundang kemalangan.
Justeru, tindakan mengalihkan objek yang mengganggu laluan atau membahayakan pengguna jalan merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial yang wajar dipupuk dalam masyarakat.
Islam menuntut umatnya melakukan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing walaupun sekecil-kecil perkara seperti membuang halangan di jalan.
Ia menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak semestinya bersifat luar biasa, sebaliknya bermula dengan keprihatinan terhadap perkara kecil yang berada di hadapan mata. — AlHijrah Online