Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PELAJAR TINGKATAN ENAM TERIMA ELAUN MULAI SEMESTER PERTAMA TAHUN DEPAN – FADHLINA

DALAM NEGARA

PELAJAR TINGKATAN ENAM TERIMA ELAUN MULAI SEMESTER PERTAMA TAHUN DEPAN – FADHLINA

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata elaun itu akan diberikan secara berperingkat sepanjang tiga semester pengajian, dengan jumlah kira-kira RM800 bagi setiap semester.

Sumber Gambar: BERNAMA

NIBONG TEBAL: Pelajar Tingkatan Enam akan menerima elaun sara hidup berjumlah RM2,500 yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 mulai semester pertama tahun depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

“Sebaik sahaja proses pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai, kita akan menyalurkan bantuan itu pada semester pertama mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia Peringkat Parlimen Nibong Tebal hari ini.

Beliau berkata elaun itu akan diberikan secara berperingkat sepanjang tiga semester pengajian, dengan jumlah kira-kira RM800 bagi setiap semester.

Fadhlina berkata pemberian itu membuktikan komitmen kerajaan khususnya dalam membantu menyokong keperluan pelajar Tingkatan Enam dari segi pembelajaran, selain meningkatkan kualiti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan elaun sara hidup itu, yang menyamai elaun diterima pelajar matrikulasi, dan dijangka memanfaatkan 90,000 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara.

Pemberian elaun itu adalah antara 12 resolusi yang dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti MADANI di Klang, Selangor pada Ogos lepas.

Menyentuh mengenai Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia peringkat Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina berkata program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri itu adalah antara usaha konsisten dalam mengangkat wacana kenegaraan dan mendekatkan agenda berkenaan dengan rakyat.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata pelbagai pengisian program melibatkan kanak-kanak, belia, ibu bapa dan warga emas memberi tumpuan kepada aspek perpaduan, keharmonian, kecintaan terhadap negara serta pemerkasaan Rukun Negara.

Beliau berkata tanggungjawab memelihara keharmonian, kestabilan dan kedamaian negara tidak boleh diletakkan kepada kerajaan semata-mata sebaliknya perlu dipikul bersama oleh seluruh rakyat.

“Memang ada tanggungjawab di peringkat kerajaan untuk kita melaksanakan program-program seperti ini tetapi rakyat juga memiliki tanggungjawab yang sama untuk terus memastikan soal keharmonian, kestabilan, keselamatan dan paling penting adalah kedamaian,” katanya.

Program dua hari yang berakhir hari ini itu turut membuka ruang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan, mendapatkan maklumat perkhidmatan serta mengemukakan pandangan dan keperluan komuniti setempat. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading