
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menerima pengiktirafan Asia’s Visionary CEO of the Year 2026, kategori Media & Broadcasting Industry menerusi Global Excellence & Leadership Awards 2026 di Bangkok.
Penghargaan ini merupakan manifestasi kecemerlangan yang mencerminkan pencapaian profesional, kepimpinan serta sumbangan beliau dalam industri media dan penyiaran.
Menurut kenyataan rasmi penganjur, pengiktirafan tersebut turut meraikan perjalanan profesional Namanzee serta peranan beliau dalam memacu kecemerlangan dan memberi impak bermakna dalam bidang yang diterajuinya, selaras dengan usaha Global Excellence & Leadership Awards mengetengahkan pemimpin yang menunjukkan dedikasi dan komitmen terhadap kemajuan industri.
Namanzee yang menerajui TV AlHijrah sejak 1 Julai 2019 mempunyai pengalaman luas dalam industri media dan penyiaran, khususnya dalam bidang strategi kandungan, pengurusan saluran serta inovasi penyiaran.
Sebelum menerajui TV AlHijrah, beliau membina pengalaman dalam industri penyiaran sejak 2004 termasuk dalam pengurusan kandungan dan saluran televisyen.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam melalui perkembangan kandungan televisyen dan digital, pengukuhan kehadiran menerusi pelbagai platform serta pelaksanaan inisiatif yang mendekatkan jenama TV AlHijrah dengan masyarakat.
Antara perkembangan yang dapat dilihat termasuk peluasan akses kandungan menerusi platform penstriman digital AlHijrah Plus, pengukuhan peranan berita dan ehwal semasa, pelaksanaan inisiatif kemasyarakatan seperti Hijrah Prihatin, serta penerimaan beberapa pengiktirafan korporat dan industri.
Pada tahun 2026, TV AlHijrah turut menerima Malaysia Best Employer Brand Awards 2026, manakala Namanzee sendiri menerima Anugerah Prestasi Cemerlang 2026 bagi kategori Penyiaran Islam & Kecemerlangan Media, sekali gus memperlihatkan kesinambungan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan pencapaian organisasi.
Namanzee berkata, pengiktirafan terbaru itu bukan sahaja merupakan satu pencapaian peribadi, malah mencerminkan komitmen seluruh warga TV AlHijrah dalam memastikan organisasi terus berkembang dan bersedia mendepani perubahan industri.
“Saya melihat pengiktirafan ini sebagai penghargaan kepada seluruh warga TV AlHijrah. Apa juga pencapaian yang kita capai hari ini adalah hasil komitmen dan usaha bersama dalam memastikan organisasi ini terus berkembang, relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri,” katanya.
Menurut beliau, perubahan dalam pola penggunaan media, perkembangan teknologi serta peningkatan persaingan antara platform menuntut organisasi media untuk sentiasa bersedia melakukan penyesuaian dan inovasi.
“Cabaran hari ini bukan sekadar menghasilkan kandungan yang baik, tetapi memastikan kandungan itu kekal relevan, dipercayai dan dapat disampaikan kepada khalayak melalui platform yang sesuai. Pada masa yang sama, identiti dan nilai yang menjadi asas kepada TV AlHijrah perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi dan perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat turut menuntut organisasi penyiaran untuk lebih tangkas dalam memahami keperluan khalayak, selain memperkukuh keupayaan dalaman supaya kandungan yang dihasilkan terus mempunyai nilai dan daya saing.
Seiring perubahan tersebut, TV AlHijrah terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kandungan, peluasan capaian digital, pembangunan bakat serta peningkatan keupayaan organisasi bagi memastikan stesen berkenaan kekal relevan dalam ekosistem media yang sentiasa berkembang.
Global Excellence & Leadership Awards merupakan platform pengiktirafan yang mengetengahkan pemimpin dan organisasi daripada pelbagai sektor berdasarkan pencapaian, kepimpinan, kecemerlangan profesional serta sumbangan yang memberi impak dalam bidang masing-masing.
Namanzee berkata, pengiktirafan tersebut akan dijadikan sebagai dorongan kepada TV AlHijrah untuk terus meningkatkan mutu penyampaian, memperkukuh hubungan dengan khalayak serta memperluas sumbangan organisasi kepada industri dan masyarakat.
“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami untuk terus bergerak ke hadapan. TV AlHijrah perlu terus menjadi organisasi media yang mempunyai identiti yang kuat, dipercayai dan mampu memberikan nilai yang jelas kepada khalayak,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron serta seluruh Ahli Lembaga Pengarah atas sokongan, bimbingan dan dorongan berterusan dalam memastikan organisasi terus melangkah ke hadapan.
“Saya amat menghargai sokongan, nasihat dan teguran yang diberikan, termasuk tekanan yang wajar untuk kami sentiasa memperbaiki prestasi dan mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
“Bagi saya, kecemerlangan bukan sekadar diukur melalui pencapaian atau pengiktirafan, tetapi perlu didasari keinginan untuk menjadi insan yang bertakwa, amanah dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya. — AlHijrah Online