
Sumber Gambar: BERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikejarkan ke lokasi.
“Kejadian menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah dan laporan awal memaklumkan terdapat tiga mangsa, iaitu penghuni rumah itu namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
John berkata mayat mangsa dikenali sebagai Wong Kar Lin, 73 tahun, seorang doktor di sebuah klinik berjaya dikeluarkan pada 11.20 pagi tadi.
“Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang terlibat dalam operasi itu mengeluarkan mayat mangsa dari bawah runtuhan konkrit,” ujarnya.
Menurut beliau, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Dalam kejadian itu, isteri mangsa Chang Mei Nuo, 68 tahun, dan ibu mertuanya Wong Poh Lim yang berusia 80-an berjaya menyelamatkan diri.
Tambahnya, kejadian mungkin berlaku akibat hujan lebat berterusan semalam yang menyebabkan struktur tanah tidak stabil, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Susulan kejadian itu, John berkata penghuni di enam rumah di kawasan berhampiran diarahkan mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah keselamatan.
Beliau berkata setakat 12.35 tengah hari ini, bomba masih menjalankan kerja pemeriksaan dan pembersihan di lokasi bagi memastikan kawasan tersebut selamat.
“Mesyuarat bencana peringkat daerah dijadualkan diadakan bagi membincangkan tindakan susulan dan langkah keselamatan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya. — AlHijrah Online.