
PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan orang awam selepas kenderaan dipandunya terbalik sebelum terbakar, di Persiaran Bandar Utama Taman BU2, di sini Ahad lepas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3:35 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbakar 95 peratus akibat kemalangan jalanraya.
“Terdapat seorang mangsa wanita berbangsa Cina berusia 84 tahun mengalami kecederaan patah tangan kanan dan masih sedar diri telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dihantar ke Hospital Sungai Buloh sementara kebakaran berjaya dikawal pada jam 4:20 petang.–AlHijrah Online