Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PUKUL ANAK TIRI GUNA SETERIKA DAN LESUNG BATU, BAPA DIDENDA RM12,000

DALAM NEGARA

PUKUL ANAK TIRI GUNA SETERIKA DAN LESUNG BATU, BAPA DIDENDA RM12,000

Seorang pemandu van pelancong didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah menganiaya dua anak tirinya dengan menampar dan memukul menggunakan anak lesung batu serta seterika sehingga menyebabkan kecederaan pada badan dan kepala.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van pelancong didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya anak tirinya dengan menampar dan memukul menggunakan anak lesung batu serta seterika, bulan lalu.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Joharis Mahmod, 48, selain memerintahkannya menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 serta memerintahkan tertuduh melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Joharis didakwa menganiaya dua anak tiri lelakinya yang masing-masing berusia sembilan tahun lima bulan dan 17 tahun enam bulan sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian badan dan kepala.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Cheras antara jam 10.30 malam hingga 11 malam pada 13 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang guru wanita membuat laporan polis sebelum siasatan mendapati tertuduh menampar pipi kiri dan kanan mangsa pertama sebanyak lima kali.

Joharis turut mencederakan mangsa kedua menggunakan anak lesung batu dan seterika.

Pemeriksaan awal doktor mengesahkan terdapat kesan lebam pada kedua-dua pipi mangsa pertama, manakala mangsa kedua mengalami beberapa kesan lebam pada belakang badan dan kulit kepala.

Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya menjaga anak yang diamanahkan kepada mereka.

“Dalam kes ini, laporan polis terhadap tertuduh dibuat oleh guru yang mengajar mangsa. Ini menunjukkan kesedaran orang awam mengenai kes seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Joharis yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan atas alasan berpendapatan RM3,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga, manakala isterinya tidak bekerja.

“Saya janji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi,” katanya dalam keadaan sebak. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading