
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian anak angkat perempuan berusia tujuh bulan dengan mencubit, menampar dan menggigit mangsa sehingga mengalami kecederaan teruk.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Subrina Imran, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai 2025.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian bayi itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras antara jam 10 malam 29 Julai 2025 hingga 7 pagi 30 Julai 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada suami tertuduh yang memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri, sebelum polis tiba di lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang serta tidak bernyawa di tempat tidur bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.
Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada muka dan keseluruhan badan mangsa dengan siasatan turut mendedahkan bayi itu didera melalui cubitan, tamparan dan gigitan.
Polis juga menemui mesej WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya dengan kandungan berbunyi ‘Aku Kasi Lebam Budak Itu Separuh Mati’.
Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman berat dan setimpal memandangkan mangsa yang masih bayi bergantung sepenuhnya kepada penjagaan orang dewasa.
“Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan. Namun, individu sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya. Fakta kes juga menunjukkan mangsa dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh.
“Perbuatan itu jelas menunjukkan suatu penderaan fizikal berulang dan disengajakan terhadap bayi berkenaan. Hukuman dijatuhkan hendaklah memberi mesej jelas bukan sahaja kepada tertuduh, malah masyarakat di luar sana bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung.
“Saya juga telah ditinggalkan suami puan (hakim),” katanya.