
KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terbabit dalam video pementasan yang didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi raja dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua individu berusia antara 28 hingga 47 tahun itu ditahan di Selangor dan Johor pada 19 September lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Menurutnya, seorang lagi individu yang dikenal pasti terbabit dalam video berkenaan telah meninggal dunia, manakala seorang lagi berada di United Kingdom berdasarkan rekod Jabatan Imigresen.
Katanya, pemeriksaan terhadap gajet milik kesemua individu berkenaan tidak menemukan sebarang kandungan berkaitan persembahan itu dan rakaman tersebut juga tidak dimuat naik ke mana-mana platform.
“Oleh itu, kita kini sedang menyiasat sumber video yang telah ditularkan tersebut, termasuk meneliti alamat atau ID yang berkaitan bagi mengenal pasti pihak yang menularkannya.
“Susulan penularan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Kumar berkata, siasatan mendapati pementasan itu berlangsung pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (Penang PAC), yang ditutup pada 2024.
“Pada ketika itu, persembahan tersebut merupakan satu persembahan tertutup dan mereka diberikan masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan.
“Siasatan juga mendapati terdapat pemilihan bagi persembahan terbaik dan sebagainya. Bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam siasatan,” jelasnya.
Beliau berkata, pengarah persembahan itu dipercayai merupakan seorang individu dari United Kingdom.
“Mereka telah memberikan kerjasama dan peralatan mereka juga telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang barang atau bahan yang berkaitan ditemukan.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk mereka direman kerana mereka telah memberikan kerjasama dan siasatan masih berjalan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemungkinan tindakan terhadap pelakon terbabit, Kumar berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Kita akan melengkapkan siasatan dan seterusnya merujuk perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan serta nasihat selanjutnya,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan video pementasan yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular sejak kelmarin.
Penularan video berkenaan turut mendorong orang ramai mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat. — AlHijrah Online.