
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima benda berharga iaitu kos pengubahsuaian rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lepas.
Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Menurut pertuduhan, Adi Azuan sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pegawai Operasi TH telah menerima untuk dirinya benda berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian tiga buah rumah di Jalan Polo Air, Shah Alam; Jalan Sepah Puteri, Kota Damansara dan Jalan USJ Height, Subang Jaya masing-masing sebanyak RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.
Ketiga-tiga transaksi berkenaan diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd Thamsulazri Ismail yang diketahui ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan oleh Adi Azuan dengan kesemua kesalahan berkenaan dilakukan di tiga alamat terbabit pada 7 Mac 2017.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh hingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 dengan tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbangkan jaminan dikurangkan kepada RM30,000 mengambil kira kerjasama yang diberikan kepada pihak berkuasa serta sedang menanggung empat anak yang masih belajar di universiti dan sekolah.
“Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan agar pasport anak guam tidak diserahkan kepada mahkamah kerana dia bercadang untuk menunaikan umrah,” katanya yang hadir bersama peguam Datuk Tania Scivetti dan Effa Azuin Aidrul Hisham.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan.
Tindakan undang-undang susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kepada umum berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji menyaksikan tujuh individu didakwa di mahkamah, setakat hari ini.
Mereka termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan itu turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. — AlHijrah Online.