
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan sebuah syarikat dan nilai pasaran 24 lot tanah milik FELDA, 12 tahun lalu.
Mohd Zaid, 55, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek The Proposed Commercial Development On FELDA Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Sedangkan tertuduh didakwa mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.
Perbuatan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Project Delivery Partner–Master Developer, yang tidak akan dilakukan sekiranya mereka tidak diperdayakan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC mengenai nilai pasaran 24 lot tanah milik FELDA bagi tujuan pembangunan komersial.
Tertuduh didakwa membuat mereka mempercayai nilai pasaran tanah berkenaan yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah RM330.96 juta, sedangkan beliau mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Anggaran awal nilai pasaran yang diberikan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi semua tanah itu pula ialah RM180 juta, namun tertuduh juga didakwa mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal berkenaan kepada FELDA.
Perbuatan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mohd Zaid didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. — AlHijrah Online