Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MARHAMAH NAFI TERLIBAT NEW AGE MOVEMENT, KEKAL TEGUH DENGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

DALAM NEGARA

MARHAMAH NAFI TERLIBAT NEW AGE MOVEMENT, KEKAL TEGUH DENGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menafikan penglibatan dengan New Age Movement (NAM), selain memohon maaf atas kekeliruan yang timbul daripada hantaran dan penggunaan istilah pada masa lalu.

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau terlibat, mengamalkan atau menyebarkan New Age Movement (NAM), sambil menegaskan kekal berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya tidak terlibat dengan New Age Movement dan kekal berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam, termasuk mana-mana unsur NAM yang bertentangan dengan akidah dan Syariat Islam,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Susulan isu berkenaan, Marhamah berkata beliau telah mengadakan pertemuan bagi memberi penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang telah diberikan, tiada pertikaian berhubung akidah saya dan tiada keterlibatan saya sama sekali dengan NAM.

“Nasihat yang diberikan adalah berkaitan beberapa hantaran lama saya yang memerlukan penjelasan, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM,” ujarnya.

Mengulas hubungannya dengan beberapa individu yang dikaitkan dengan NAM, Marhamah menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi, perguruan atau kerjasama dengan Umar Paranorms berkaitan mana-mana ajaran atau fahaman.

Tambahnya, pada 2019, beliau pernah berkongsi satu hantaran Umar Paranorms berkaitan pembangunan diri dan tidak mengetahui kandungan atau istilah tertentu dalam hantaran berkenaan kemudiannya dikaitkan dengan NAM.

Beliau turut menjelaskan pernah menghadiri program terbuka Afnan Rosli sebagai peserta bagi mendapatkan ilmu berkaitan pembangunan diri, manakala pertemuannya dengan Ustaz Nasrullah pula hanya berkaitan urusan promosi sebuah filem.

“Saya juga memandang serius tindakan menggabungkan atau meletakkan potongan hantaran lama saya bersama video atau kandungan lain yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan hantaran asal sehingga boleh memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai pegangan saya,” katanya.

Penggunaan beberapa istilah dalam konteks pembangunan diri pada masa lalu, menurutnya dibuat tanpa mengetahui bahawa istilah berkenaan kemudiannya dikaitkan dengan NAM dan kini tidak lagi digunakan.

“Saya menerima setiap teguran dan nasihat dengan terbuka. Sebagai Timbalan Menteri yang diberikan amanah dalam portfolio Hal Ehwal Agama, saya komited dan akan terus memastikan setiap penyampaian dan pendekatan saya berpandukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta merujuk pihak berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.

“Akhir sekali, saya memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kegusaran yang timbul daripada hantaran atau penggunaan istilah saya pada masa lalu,” katanya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading