
Sumber Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak andaian peningkatan kes penyeludupan dadah berskala besar di negara ini berpunca daripada pemansuhan hukuman mati mandatori kerana perkara itu belum dipastikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerangka perundangan sedia ada cukup ketat dan memadai, namun cabaran utama yang perlu ditangani secara agresif ialah isu ketirisan serta pembolosan sempadan darat, laut serta udara negara.
“Apakah (peningkatan kes) kerana kita kurang hukuman gantung, menidakkan hukuman gantung? Belum dapat dipastikan kerana sebenarnya sempadan kita agak bolos di laluan laut dan darat, malah sekarang ini di udara.
“Sebab itu kita memperkukuh agensi AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan) sebab kita tahu penyeludupan itu (berskala) besar,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu jika pemansuhan hukuman itu bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menjadi punca penyeludup semakin berani membawa masuk dadah dalam kuantiti besar kerana tidak gentar terhadap hukuman penjara seumur hidup.
Bagi membuktikan komitmen itu, beliau berkata kerajaan meningkatkan peruntukan kepada AKPS secara signifikan daripada RM37 juta pada tahun ini kepada RM490 juta bagi perbelanjaan 2027.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan tindakan memerangi jenayah narkotik perlu dilaksanakan secara lebih keras dan tegas memandangkan ancaman itu membelenggu masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi sejak berpuluh tahun lamanya.
Operasi penguatkuasaan ketika ini, menurut beliau menyaksikan penahanan ratusan ribu individu merangkumi penagih, pengedar dan dalang utama yang mengetuai sindiket penyeludupan dadah.
Anwar juga memuji tindakan proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang bertindak “tanpa memilih bulu” terhadap kumpulan haram dan sindiket jenayah rentas sempadan.
Menyentuh isu pengisian perjawatan AKPS, beliau berkata proses penyerapan pegawai penguat kuasa daripada agensi barisan hadapan dilaksanakan secara telus mengikut skim tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa sebarang unsur paksaan.
“Perjawatan itu mengikut proses. JPA akan membuat tawaran dan sudah pun ditawarkan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen (JIM), Kesihatan, MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) serta polis.
“Sebahagian besar telah menerimanya (dan) ada juga tidak mahu terima, tetapi skim itu adalah skim kerajaan sedia ada,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung cadangan meminjamkan pegawai JKDM dan JIM ke AKPS bagi mengelakkan kewujudan dua entiti berasingan di pintu masuk negara sekiranya enggan diserap secara tetap. — AlHijrah Online.