Connect with us

ALHIJRAH NEWS

GURU AGAMA PERLU MANFAAT TEKNOLOGI DIGITAL, PERLUAS CAPAIAN DAKWAH

DALAM NEGARA

GURU AGAMA PERLU MANFAAT TEKNOLOGI DIGITAL, PERLUAS CAPAIAN DAKWAH

“Guru agama hendaklah mampu menilai sumber, memahami konteks dan memastikan penjelasan yang diberikan berlandaskan rujukan agama yang muktabar,” titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sumber Gambar: BERNAMA

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah guru agama perlu memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) khususnya bagi memperluas capaian dakwah kepada generasi muda.

Baginda bertitah perkembangan teknologi digital dan AI menyediakan pelbagai kemudahan untuk menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat, namun setiap maklumat disampaikan perlu disemak dan dipastikan kesahihannya.

“Guru agama hendaklah mampu menilai sumber, memahami konteks dan memastikan penjelasan yang diberikan berlandaskan rujukan agama yang muktabar,” titah baginda ketika merasmikan Simposium Guru Agama dan Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2026 hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah guru agama mempunyai tanggungjawab besar dalam membimbing masyarakat untuk memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul.

“Tugas ini bukan sekadar menyampaikan pengetahuan, tetapi turut melibatkan pembentukan akhlak, pengukuhan nilai murni dan pendidikan generasi muda.

“Oleh itu, setiap guru agama perlu mempunyai asas ilmu yang kukuh, mengamalkan ajaran disampaikan serta menunjukkan keperibadian yang baik. Keikhlasan, ketakwaan dan kesungguhan menambah ilmu juga perlu menjadi pegangan dalam melaksanakan tugas ini,” titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah profesionalisme juga perlu ditunjukkan melalui persediaan yang baik, ketepatan masa, komunikasi berkesan, kesantunan serta keterbukaan menerima pandangan dan teguran bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap penyampaian dan bimbingan guru agama.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, pembangunan sesebuah negeri perlu bergerak seiring dengan kemajuan pendidikan, kekuatan nilai agama dan pembentukan akhlak masyarakat, maka peranan guru agama penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdisiplin serta mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Pada masa sama, baginda bertitah simposium itu menjadi platform penting untuk meningkatkan kualiti penyampaian ilmu agama, memperkukuh profesionalisme guru agama dan menambah baik pendekatan dakwah supaya terus relevan dengan keperluan semasa.

“Beta berharap simposium ini dapat menghasilkan cadangan dan pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dalam mempertingkatkan mutu dakwah di negeri Perlis.

“Perancangan tersebut perlu mengambil kira keperluan semasa, cabaran generasi muda dan perkembangan teknologi supaya penyampaian agama kekal berkesan serta mudah difahami,” titah baginda. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top