
JERANTUT: Hanya doa yang mampu dititipkan seorang bapa buat tiga anak perempuannya agar terus kuat mengharungi ujian serta diberi kesembuhan dari penyakit jantung kronik yang dihidapi.
Syed Mohammad Azizan Syed Ali, 53, dari Jerantut, Pahang, diuji Allah apabila tiga daripada 10 anaknya dilahirkan dengan penyakit terbabit.
Tidak hanya itu, tiga anak gadisnya iaitu Sharifah Ummu Habibah, 21, Sharifah Ummu Shareef, 19, dan Sharifah Ummu Khairunnissa Aqilah, 18, merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Syed Mohd Azizan yang juga imam kariah masjid Kampung Labu, Jerantut, berkata, walaupun berat baginya menempuh dugaan itu namun dia reda dengan ketentuan takdir.
“Apabila anak ke-5 tu ada masalah, masalah tu pun daripada dalam perut lagi, doktor dah tahu dah. Jadi maknanya masa itu memang kita rasa berat sangatlah dengan ujian Allah nak bagi pada saya ni. Lepas setahun, lepas anak yang ke-6, tak ada (masalah jantung), anak yang ke-7, kena pula seorang lagi jantung. Maknanya pengalaman yang lepas tu membuatkan saya lebih tenang. Maknanya kita mengadu dengan Allah, Dia nak uji saya lah kan,” katanya
Selain itu, Syed Mohammad Azizan berkata, anak ketujuhnya, Sharifah Ummu Shareef dijadualkan menjalani pembedahan injap jantung pada Ogos ini dan memerlukan belanja kira-kira RM96,000.
Sehingga kini melalui sumbangan orang ramai, dia sudah berjaya mengumpul dana sebanyak kira-kira RM40,000 untuk pembedahan berkenaan.

Sementara itu, nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang tampil membantu meringankan beban mereka.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman, pihaknya telah meluluskan bantuan berjumlah RM61,000 untuk menampung baki kos pembedahan terbabit.
“ini merupakan kali ketiga untuk rawatan anak ketujuhnya. Sebelum ini, kos tidak terlalu besar namun untuk rawatan kali ini, kos agak besar. Tapi alhamdulillah, ayah dia dah dapat sebahagian, dan hari ini MUIP datang untuk menampunglah kos yang selebihnya sebanyak RM61,000,” katanya.
Jelas Dr. Asmadi remaja berkenaan merupakan penerima ke-45 bantuan rawatan jantung oleh MUIP membabitkan bantuan zakat berjumlah RM310,000 setakat tahun ini.—AlHijrah Online