
MOSCOW: Menteri Luar lapan negara mengecam tindakan penjajah Israel di sekitar Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang disifatkan sebagai provokasi serta pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan status quo tapak suci berkenaan.
Dalam kenyataan bersama, Menteri Luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengecam tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir yang memasuki kawasan Masjid al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif sempena Tisha B’Av, hari berkabung dan berpuasa dalam agama Yahudi.
“Menteri-menteri luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi Israel di Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif.
“Ini termasuk pencerobohan beramai-ramai secara berterusan oleh pendatang haram yang diketuai menteri pelampau Israel ke Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif dengan perlindungan tentera, pengibaran bendera Israel di perkarangannya, pemasangan dua khemah oleh polis Israel serta semua tindakan lain yang mencetuskan ketegangan,” menurut kenyataan itu.
Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta status quo sejarah dan perundangan tapak suci di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
“Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis yang diduduki atau tapak suci Islam dan Kristian di bandar itu,” menurut kenyataan sama.
Menteri-menteri luar terbabit turut menggesa Israel supaya segera menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis dan tidak menghalang umat Islam daripada memasuki Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan ibadah.