Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIGA LELAKI ROHINGYA DITAHAN GUNA KAD UNHCR DISYAKI PALSU

DUNIA

TIGA LELAKI ROHINGYA DITAHAN GUNA KAD UNHCR DISYAKI PALSU

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan tiga lelaki etnik Rohingya selepas disyaki menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Mega Bersepadu di sekitar bandar Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan tiga lelaki etnik Rohingya selepas disyaki menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Mega Bersepadu di sekitar bandar Kota Bharu hari ini.

Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, ketiga-tiga kad itu dirampas selepas pemeriksaan mendapati data biometrik serta maklumat yang dipaparkan menerusi imbasan kod respons pantas (QR) tidak sepadan dengan pemegang kad berkenaan.

“Mereka mendakwa kad itu diperoleh daripada rakan dan digunakan untuk mendapatkan pekerjaan, bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber kad disyaki palsu itu.

“Jika kad berkenaan disahkan palsu, kes akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.

Operasi bermula jam 9 pagi itu melibatkan pemeriksaan di 11 lokasi tumpuan warga asing dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Sepanjang operasi, seramai 362 warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Thailand diperiksa.

Daripada jumlah itu, seramai 20 lelaki berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Garry berkata, kebanyakan warga Rohingya yang diperiksa memiliki kad UNHCR, manakala warga asing lain mempunyai permit kerja yang sah.

Beliau turut memaklumkan tujuh wanita dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun diperiksa, dengan mereka memaklumkan berada di kawasan berkenaan untuk membeli-belah. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading