
PUTRAJAYA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu kekal dihukum gantung selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan membunuh empat sekeluarga dalam kebakaran rumah di Tanjung Sepat, Sepang, Selangor pada 2017.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Noorin Badarudin mendapati pembunuhan dilakukan Kang Chang Heng, 47, dengan kejam sebelum rumah mangsa dibakar.
“Perayu mengejar dan terus menyerang mangsa walaupun Mai Shak telah terjatuh.
“Dia kemudian menyerang Andrew dengan mengelar lehernya sebanyak dua kali sebelum membakar rumah tersebut dengan sengaja,” katanya ketika membaca keputusan sebulat suara.
Empat mangsa ialah pasangan warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan Lim Mai Shak, 68, serta dua cucu mereka, Chia Yuan Bin, tiga, dan Ryan Chia Zeng Xi, sembilan.
Cucu pasangan itu, Andrew Chia Zeng Haol, berusia 11 tahun ketika kejadian, terselamat selepas dikelar dalam kejadian berkenaan.
Mahkamah berkata keadaan Chang Heng yang pekak dan bisu diambil kira sebagai faktor berkaitan keadaan peribadi dan pembelaannya, namun tidak menghalangnya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Mahkamah turut menolak alasan bahawa dia berada di rumah itu untuk menyelamatkan mangsa selepas menerima maklumat mengenai kebakaran.
“Jika benar perayu berada di situ dengan tujuan menyelamatkan mangsa, dia boleh mendapatkan bantuan daripada orang ramai,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Chang Heng membunuh empat mangsa di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat antara jam 4 hingga 5 pagi pada 13 Disember 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika hukuman mati tidak dikenakan.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Chang Heng kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Andrew mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Pada 25 November 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Chang Heng bersalah dan menjatuhkan hukuman mati bagi pertuduhan membunuh serta penjara sembilan tahun kerana mencederakan Andrew. — AlHijrah Online