
Sumber: Media sosial
KUALA LUMPUR: Insiden pembakaran kenderaan milik aktivis S. Chandrasegaran atau Cikgu Chandra bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menunjukkan kecenderungan menyelesaikan konflik secara tidak beradab dan bercanggah dengan nilai hidup bermasyarakat dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Azizuddin Ahmad menegaskan isu ini perlu dilihat dalam kerangka lebih luas sebagai peringatan bahawa kestabilan sosial negara bergantung kepada keupayaan rakyat mengurus perbezaan secara matang, rasional dan berinstitusi.
“Dalam konteks semasa, dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan kebangkitan politik identiti yang sering membentuk emosi kolektif secara reaktif.
“Namun, Malaysia tidak boleh membenarkan tekanan global tersebut diterjemahkan secara emosional ke dalam ruang domestik sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya.
Wadah turut menekankan bahawa pendekatan penyelesaian perlu berteraskan ketertiban undang-undang, kematangan sivik dan kebertanggungjawaban sosial, bukannya reaksi spontan yang didorong emosi.
Justeru, semua pihak wajar menolak budaya “trial by social media”, mengelakkan retorik berlebihan, serta memberi ruang kepada proses siasatan profesional berjalan dengan telus dan adil.
“WADAH melihat pentingnya pengukuhan literasi masyarakat dalam era digital agar rakyat mampu membezakan antara fakta dan persepsi, serta tidak mudah dipengaruhi sentimen yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Pembinaan masyarakat damai menuntut disiplin wacana, keupayaan mendengar secara empatik, serta komitmen terhadap nilai bersama sebagai warganegara,” katanya.
WADAH percaya bahawa kekuatan Malaysia sebagai negara majmuk
terletak pada keupayaan rakyatnya mengurus perbezaan secara berhemah, bukan secara konfrontatif.
Oleh itu, semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pendidik, pengamal media dan warga digital perlu memainkan peranan membina suasana yang menenangkan, rasional dan bertanggungjawab.
Sebelum ini dilaporkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung dua laporan berasingan diterima berkaitan insiden menimpa aktivis berkenaan.
Terdahulu, seorang aktivis mendakwa menjadi sasaran serangan berulang kali termasuk kejadian terbaharu di kediamannya di Taman Kinrara pada Selasa.
Mangsa yang lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra mendakwa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini dia juga pernah diserang individu tidak dikenali pada tahun 2022.–AlHijrah Online