
KUALA LUMPUR: Penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi mencegah jangkitan HIV tidak boleh dilihat hanya daripada sudut kesihatan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan prinsip syariah serta usaha memelihara akhlak masyarakat.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zizi Azlinda Mohd Yusof berkata, walaupun keberkesanan PrEP dalam mengurangkan risiko jangkitan HIV diiktiraf oleh kajian perubatan, penggunaannya bagi tujuan meneruskan perlakuan seks songsang tetap bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurut beliau, PrEP merupakan ubat pencegahan HIV yang diberikan kepada individu yang belum dijangkiti virus berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Katanya, kedudukan hukum berkaitan penggunaan ubat itu telah diperjelaskan menerusi keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada tahun 2023.
“Keputusan tersebut mengharuskan penggunaan PrEP kepada pasangan suami isteri yang sah bagi mengelakkan penularan HIV dengan nasihat pegawai perubatan.
“Namun, pemberian dan pengambilan ubat PrEP untuk tujuan maksiat adalah dilarang dan diharamkan,” katanya.
Dr Zizi yang juga Setiausaha Kumpulan Penyelidikan MyGift (Gender Identity Through Fitrah Reinforcement), Institut Sains Islam berkata, Islam bukan sahaja menitikberatkan usaha mencegah penyakit, malah turut menekankan keperluan menutup jalan yang membawa kepada kemaksiatan.
Beliau menjelaskan, sekiranya PrEP digunakan sebagai persediaan untuk meneruskan aktiviti seks songsang, ia bercanggah dengan prinsip syariah yang mengutamakan pencegahan kemudaratan dan pemulihan punca masalah.
Mengulas pandangan bahawa PrEP merupakan usaha menjaga nyawa dan kesihatan, beliau berkata pendekatan tersebut perlu diseimbangkan dengan tuntutan syariah yang menolak normalisasi perlakuan yang dilarang agama.
“Walaupun PrEP mampu mengurangkan risiko HIV sehingga 99 peratus jika diambil mengikut jadual yang ditetapkan, ia tidak menyelesaikan persoalan berkaitan normalisasi perlakuan seks songsang dalam masyarakat.
“Jika hanya memberi tumpuan kepada pencegahan HIV tanpa merawat akar umbi masalah, gaya hidup tersebut akan terus berleluasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui program kerohanian, psikospiritual, pendidikan serta advokasi bagi membantu individu kembali kepada fitrah dan menjauhi perlakuan yang bertentangan dengan syariat.
Dr Zizi turut menegaskan umat Islam perlu memahami bahawa pengharaman liwat dan seks songsang merupakan ketetapan syarak yang bersifat muktamad.
Justeru, sebarang pendekatan pencegahan penyakit perlu dilaksanakan selari dengan usaha memelihara maqasid syariah, termasuk menjaga agama, nyawa dan akhlak masyarakat secara menyeluruh.—AlHijrah Online / Abdurrahman Kunyu