Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENGURUSAN HAJI MALAYSIA TERUS DIIKTIRAF, SULTAN SELANGOR PUJI TABUNG HAJI

DALAM NEGARA

PENGURUSAN HAJI MALAYSIA TERUS DIIKTIRAF, SULTAN SELANGOR PUJI TABUNG HAJI

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, baginda menyifatkan pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu sebagai bukti kecekapan, profesionalisme serta komitmen tinggi warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) susulan kejayaannya merangkul Anugerah Labaytum Diamond bagi dua tahun berturut-turut, termasuk bagi musim haji 1447H/2026M.

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, baginda menyifatkan pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu sebagai bukti kecekapan, profesionalisme serta komitmen tinggi warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Sultan Sharafuddin bertitah, kejayaan berkenaan bukan sahaja membanggakan TH, malah mengharumkan nama Malaysia serta mengukuhkan reputasi negara sebagai antara peneraju pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berlandaskan prinsip syariah.

Baginda yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali serta beberapa kali mengerjakan umrah melalui bimbingan TH turut menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan institusi itu.

“Berdasarkan pengalaman peribadi tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh TH yang disifatkan sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin turut mengimbas sejarah penubuhan TH yang diasaskan menerusi idea Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1959.

Model simpanan dan pelaburan patuh syariah yang diperkenalkan tokoh ekonomi itu membolehkan umat Islam menyimpan wang secara terancang untuk menunaikan haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa mempamerkan disiplin, adab serta akhlak terpuji sepanjang berada di Tanah Suci.

Sikap tertib, kerjasama erat dan kepatuhan terhadap peraturan yang ditunjukkan jemaah Malaysia sering menjadi contoh selain menerima pujian pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa.

Baginda percaya kecemerlangan dicapai musim haji tahun ini lahir daripada kerjasama erat antara pengurusan TH, khususnya Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, petugas haji serta jemaah yang sentiasa memelihara nama baik negara dan mengutamakan semangat kebersamaan.

Baginda turut berharap TH terus menjadi institusi kebanggaan negara dan kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada Dhuyufurrahman demi kesejahteraan ummah.

Sebelum ini, media melaporkan TH terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila berjaya mempertahankan Anugerah Labaytum buat kali kelima berturut-turut, selain mengekalkan Diamond Award bagi kali kedua iaitu pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading