Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MATRADE CADANG TAMBAH KATEGORI BAHARU ANUGERAH MIHAS, GALAK PENYERTAAN LEBIH BANYAK NEGARA

DALAM NEGARA

MATRADE CADANG TAMBAH KATEGORI BAHARU ANUGERAH MIHAS, GALAK PENYERTAAN LEBIH BANYAK NEGARA

Majlis Anugerah MIHAS 2026 mengiktiraf sebanyak 13 anugerah kepada peserta pameran menerusi tiga kategori utama, iaitu Anugerah Kecemerlangan; Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan; serta Anugerah Women in Export (WiEX) yang diperkenalkan buat julung kalinya.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merancang untuk memperkenalkan beberapa kategori baharu untuk Anugerah MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) pada tahun depan.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata usaha itu bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak negara luar menyertai pameran halal tersebut.

“Kita jangka ia dapat menjadi antara pemangkin kepada peserta sedia ada untuk terus menyertai MIHAS.

“Selain itu dapat juga menarik penyertaan baharu dari negara lain berikutan pengukuhan penjenamaan MIHAS di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah MIHAS 2026 di sini, hari ini.

Majlis Anugerah MIHAS 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini mengiktiraf peserta pameran yang mencorakkan masa depan industri halal global menerusi kecemerlangan, inovasi, kelestarian dan transformasi digital.

Sebanyak 13 anugerah disampaikan menerusi tiga kategori utama, iaitu Anugerah Kecemerlangan; Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan; serta Anugerah Women in Export (WiEX) yang diperkenalkan buat julung kalinya.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan, penerimanya ialah NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Industri Makanan Jati Sdn Bhd dan RK Mubaraka Sdn Bhd, manakala Chocofac (Malaysia) Sdn Bhd dan Haritage Brands Sdn Bhd menerima Anugerah Bintang Baharu Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan.

Zhafou Global Sdn Bhd pula menerima Anugerah WiEX Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan.

Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan Produk/Perkhidmatan diberikan kepada HYGR Sdn Bhd, PrintDaddy Sdn Bhd, Betrimex (Coco Investments Pte. Ltd.), Mega Fortris Berhad, Nestle Products Sdn Bhd dan Abin Manufacturing Sdn Bhd, manakala Innovate Health Sdn Bhd menerima Anugerah WiEX Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan Produk/Perkhidmatan.

Sementara itu, MIHAS 2026 merekodkan potensi jualan RM5.5 bilion setakat hari keempat penganjurannya, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM6 bilion menjelang akhir pameran.

Reezal Merican berkata jumlah berkenaan tidak termasuk nilai memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai serta transaksi berasingan yang dilaksanakan menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) agentik.

“Saya agak optimistik kita mampu mencapai (jumlah jualan) RM6 bilion (bagi MIHAS 2026),” katanya.

Terdahulu, MATRADE menyasarkan potensi perniagaan melebihi RM5 bilion menerusi MIHAS 2026, selain memperluas akses produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Pencapaian itu mencerminkan potensi MIHAS sebagai platform strategik bagi menjana peluang perdagangan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem halal global, khususnya menerusi jaringan perniagaan, inovasi serta pendigitalan. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading