Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KERAJAAN AKAN UMUM LANGKAH TEGAS PASTIKAN GAJI YANG ADIL

DALAM NEGARA

KERAJAAN AKAN UMUM LANGKAH TEGAS PASTIKAN GAJI YANG ADIL

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir menyiapkan belanjawan tersebut dan akan merangka usaha yang lebih serius, agar kenaikan gaji setara dengan kelayakan para graduan.

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah yang lebih tegas bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka serta gaji yang adil dalam Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan pada 9 Oktober.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir menyiapkan belanjawan tersebut dan akan merangka usaha yang lebih serius, agar kenaikan gaji setara dengan kelayakan para graduan.

“Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Contoh Korea Selatan terutamanya, produktiviti tinggi, upah pun ikut (meningkat).

“Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tapi kadar upah itu meningkat sedikit sahaja. Jadi terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani isu gaji yang adil, dengan kelayakan graduan semasa sesi soal jawab pada Program Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bersama-sama Perdana Menteri di UiTM Shah Alam hari ini.

Ditanya mengenai isu pengurusan dan kelemahan UiTM Holdings Sdn Bhd pada sesi soal jawab itu, Anwar berkata perkara tersebut perlu dikaji terlebih dahulu, sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata laporan berkaitan perkara itu akan turut diberi perhatian melalui kerjasama Naib Canselor UiTM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri.

“Sila lihat tentang UiTM Holdings dan cari jalan bekerjasama dengan Naib Canselor dan Jabatan Perdana Menteri. Pejabat saya akan berikan kerjasama dan pandangan.

“Jangan kita hukum sekarang, kaji dulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orang. Berpuluh agensi kita tukar. Tetapi kalau betul ada kecurangan, mesti ambil tindakan,” ujarnya.

Anwar berkata tatakelola yang baik amat penting khususnya dalam agensi Bumiputera bagi memastikan ia menjadi contoh kepada masyarakat.

“Saya lebih tegas dengan agensi Bumiputera. Betul, kerana ini patut jadi contoh,” tambahnya.

Pada 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd.

Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu, khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading