Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PERUNTUKAN BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKASA PENDIDIKAN ISLAM – TAUFIQ

DALAM NEGARA

PERUNTUKAN BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKASA PENDIDIKAN ISLAM – TAUFIQ

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM2.8 juta bagi tahun ini untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah serta mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah dan Musthola Hadis.

Sumber Gambar: BERNAMA

SUNGAI PETANI: Peruntukan tambahan berjumlah RM3.05 juta yang diumumkan kerajaan menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pendidikan Islam di Kedah.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata komitmen yang diberikan itu tidak hanya memartabatkan syiar Islam dari sudut fizikal dan infrastruktur malah turut menyuburkan pengajian ilmu hadis yang menjadi asas pembentukan sahsiah dan akhlak umat.

“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung kelulusan peruntukan tambahan berjumlah RM3.05 juta bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam di Kedah.

“Pembaikan infrastruktur institusi pendidikan Islam tidak hanya dapat menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat, malah turut memberi ruang yang lebih kondusif untuk pembentukan peribadi mulia dalam kalangan pelajar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata banyak institusi pendidikan pondok dan agama beroperasi dengan sumber kewangan yang agak terhad.

“Institusi ini sering bergantung kepada sumbangan masyarakat dan wakaf untuk menampung kos penyelenggaraan asas seperti bangunan, bekalan air dan elektrik.

“Peruntukan sedemikian amat penting bukan sahaja untuk menaik taraf keselesaan fizikal, malah juga memberikan kesan langsung kepada kualiti pembelajaran, kadar kehadiran pelajar, serta daya tarikan institusi tersebut untuk terus relevan berbanding aliran pendidikan arus perdana,” tambahnya.

Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata Kedah mempunyai sejarah panjang sebagai antara pusat pendidikan pondok tertua dan paling berpengaruh di Tanah Melayu.

“Warisan keilmuan ini telah melahirkan ramai ulama, guru dan cendekiawan Islam yang menyumbang kepada pembangunan tamadun ilmu di rantau ini.

“Institusi-institusi ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengajian agama, malah turut menjadi mercu tanda identiti budaya dan sejarah keilmuan Islam di negeri ini yang wajar terus dipelihara dan diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM2.8 juta bagi tahun ini untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah serta mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah dan Musthola Hadis.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Menteri Kewangan itu berkata kedua-dua peruntukan akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kedah. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading