
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi ‘bailout’ melebihi RM10 bilion bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu dan bukannya untuk mengambil atau menjual asetnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan tiada aset TH dijual kepada bukan Islam atau kaum Cina seperti didakwa beberapa pihak.
Beliau berkata, aset berkenaan merupakan hak milik Urusharta Jamaah, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH serta usaha dan tindakan bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Zulkifli, TH berada dalam keadaan genting apabila jurang defisit antara aset dan liabilitinya melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018 dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.
Katanya, krisis itu merupakan kesan terkumpul daripada kerakusan dan penyelewengan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewangan secara telus.
“Kesemua reformasi yang dilaksanakan ini jelas telah membuahkan kejayaan kepada pengukuhan TH yang lebih mampan pada hari ini. Buktinya jelas apabila penstrukturan semula aset dan liabiliti telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH.
“Di samping itu, TH juga telah dapat membersihkan kunci kira-kira serta membina semula rizab kewangan yang lebih kukuh,” katanya.
Zulkifli berkata, TH turut mencatatkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, selain kadar agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Pada 29 Julai lalu, laporan RCI setebal 211 halaman mengenai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum. Laporan itu mengemukakan 25 syor penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan setakat 30 Julai lalu. — AlHijrah Online.