
KUALA LUMPUR: Pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) dicadangkan untuk dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), manakala pengurusan haji kekal di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, cadangan itu dipersetujui pasukan kerja yang dipengerusikan Pengerusi TH serta dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi SC.
“Saya dimaklumkan Task Force ini bersetuju untuk mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawal selia oleh SC, manakala aspek pengurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH kekal sebagai satu entiti yang utuh. Butiran lanjut syor tersebut akan diberikan kepada saya untuk pertimbangan lanjut, bagi dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Parlimen hari ini.
Menurut Zulkifli, pindaan Akta Tabung Haji 1995 turut akan memasukkan peruntukan undang-undang lebih jelas termasuk piawaian perakaunan yang diguna pakai dan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan bagi mengelakkan kelemahan dilaporkan RCI berulang.
“Ingin saya jelaskan di sini, kesemua syor RCI yang berkaitan telah diteliti untuk diambil tindakan dalam cadangan pindaan Akta Tabung Haji nanti, termasuk berkaitan kesesuaian kerangka pengawasan dan pemantauan oleh Suruhanjaya Sekuriti ke atas pengurusan dana dan pelaburan di TH,” katanya.
Dalam pada itu, RCI turut mengesyorkan amalan pemberian bonus terlalu tinggi kepada kakitangan dihentikan. TH kini mengamalkan pemberian bonus munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan institusi serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI).
Sejak 2022, kadar agihan keuntungan TH turut diumumkan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit, manakala piawaian perakaunan berkaitan diguna pakai sepenuhnya sejak 2018.
RCI turut mengesyorkan pembaharuan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995 termasuk menetapkan kriteria kelayakan dan kaedah pemilihan anggota Lembaga TH berdasarkan kepakaran serta melarang ahli politik aktif dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga.
“Alhamdulillah, TH telah melaksanakan pelantikan kepimpinan, termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan, berdasarkan integriti, kebolehan dan pengalaman berdasarkan kriteria fit and proper mengikut kerangka yang diguna pakai oleh Bank Negara Malaysia.
“Sebenarnya kita punya ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah dan berintegriti untuk menerajui TH. Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan keseluruhannya,” katanya. — AlHijrah Online.