
KOTA TINGGI: Seorang wanita akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok atas pertuduhan membunuh cucu perempuannya yang berusia setahun empat bulan di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.
Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 itu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 39 tahun itu pada 31 Julai lalu, kira-kira jam 9.30 pagi, selepas mangsa didapati tidak memberikan sebarang tindak balas ketika cuba dikejutkan daripada tidur.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi hari sama.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu berusia antara 18 hingga 47 tahun iaitu nenek tiri, datuk, dan ibu mangsa bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma daya tumpul .
“Punca kematian adalah disebabkan trauma tumpul pada pada bahagian dada dan abdomen. Selain itu, terdapat juga kesan-kesan luka dan lebam di badan mangsa. Katanya dalam sidang media di IPK Johor.
Polis mengesyaki suspek memukul atau memijak mangsa menggunakan tangan dan kaki.
Mangsa dipercayai tinggal bersama datuk dan nenek tirinya sejak lahir, manakala ibu mangsa yang berusia 18 tahun masih menuntut di sebuah kolej vokasional di Johor.
Ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
Datuk dan ibu mangsa akan dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.—Alhijrah Online