
KANGAR: Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan dan cuba membunuh isterinya pada September tahun lalu.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasmi Mohd Salleh, 39, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan cuba membunuh, tertuduh didakwa melanggar isterinya, Norzuraida Don Khodet, menggunakan sebuah kereta Proton Wira Aeroback di Jalan Haji Hamid, Kampung Jelempok, Arau pada pukul 3.25 pagi, 20 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Mohd Hasmi turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menumbuk lengan kanan wanita itu sehingga lebam di lokasi sama kira-kira 15 minit sebelum kejadian tersebut.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan mencederakan isterinya dan dua tahun bagi kesalahan cuba membunuh.
Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 September 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Widyaevasari Mohd Kanifiah. — AlHijrah Online.