Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SINDIKET PEMALSUAN PASPORT TUMPAS! TIGA WARGA INDONESIA DITAHAN

JENAYAH

SINDIKET PEMALSUAN PASPORT TUMPAS! TIGA WARGA INDONESIA DITAHAN

Dalam operasi itu, pihak Imigresen menyita 119 naskhah pasport yang disyaki dipalsukan membabitkan 85 pasport Indonesia, tujuh pasport Bangladesh, 22 pasport Myanmar, dua pasport Vietnam, masing-masing satu pasport Nepal dan dua pasport India. Turut dirampas sebuah mesin pencetak, telefon bimbit serta wang tunai RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu lagi sindiket pemalsuan dokumen selepas menahan tiga warga Indonesia dalam Operasi Khas di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras pada Isnin.

Operasi yang bermula jam 11 malam itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

JIM memaklumkan seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket bersama seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai ahli sindiket berjaya diberkas yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Semakan awal mendapati dalang utama memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, manakala dua lagi suspek didapati tinggal lebih masa di negara ini.

Dalam operasi itu, JIM turut menyita 119 naskhah pasport yang disyaki dipalsukan membabitkan 85 pasport Indonesia, tujuh pasport Bangladesh, 22 pasport Myanmar, dua pasport Vietnam, masing-masing satu pasport Nepal dan dua pasport India.

Turut dirampas sebuah mesin pencetak, telefon bimbit serta wang tunai RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket.

Menurut JIM, sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang gagal atau tidak layak melepasi pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA).

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM80 hingga RM130 bagi setiap naskhah pasport.”

JIM turut memaklumkan tangkapan itu merupakan kali kelima membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan dipercayai aktif sejak awal tahun.

Dalang utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.” — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading