Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JANGAN BIAR KEBENCIAN MENANG PILIHAN RAYA

UTAMA

JANGAN BIAR KEBENCIAN MENANG PILIHAN RAYA

Pilihan raya bukan sekadar memilih parti, tetapi menentukan masa depan negeri. Ketika kempen semakin hangat, pengundi diseru menolak politik kebencian dan membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi, kemampuan serta integriti calon demi memelihara perpaduan dan memperkukuh demokrasi.

Bahang Pilihan Raya Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 kini kian terasa. Ceramah politik dan media sosial semakin rancak menjadi gelanggang pertarungan naratif. Namun, ketika kempen semakin sengit, ada pihak memilih jalan lebih mudah dengan membangkitkan ketakutan dan kebencian terhadap kaum, agama atau kelompok tertentu.

Strategi seperti ini mungkin mampu mengumpulkan undi. Walau bagaimanapun, kesannya tidak berakhir apabila pusat pengundian ditutup. Kemenangan yang diperoleh dengan menjadikan sesuatu kelompok sebagai ancaman akan meninggalkan masyarakat dalam keadaan saling mencurigai.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Muhammad Ariff Asyrul Adnan, hubungan antara kaum di Malaysia masih berada dalam keadaan yang stabil tetapi rapuh. Sekiranya ketegangan dibiarkan, usaha mencapai perpaduan dan integrasi nasional akan menjadi semakin sukar.

Isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat seperti bekalan air, peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan awam, kemudahan kesihatan dan pembangunan luar bandar akan kalah kepada pertarungan identiti.

“Rakyat berisiko mengalami kelelahan politik akibat pertentangan berterusan antara elit politik serta siri pilihan raya yang silih berganti.

“Jika berlarutan, rakyat mungkin memasuki fasa kelesuan hingga menjejaskan penyertaan mereka dalam proses demokrasi,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, pengundi Negeri Sembilan perlu kembali kepada kayu ukur yang lebih waras. Penilaian harus bermula pada calon, bukan semata-mata lambang parti atau kehebatan berpidato.

“Ianya bergantung kepada aspek ‘track record’, tahap ‘visibility’ calon dan sokongan akar umbi terhadap calon dipilih,” ulas beliau.

Kebolehlaksanaan manifesto juga harus menjadi pertimbangan utama rakyat. Setiap tawaran mestilah realistik, mampu dilaksanakan serta menepati keperluan dan aspirasi rakyat.

Prestasi kerajaan negeri pula harus dinilai melalui hasil sebenar. Pengundi berhak melihat sejauh mana program pembangunan sampai kepada rakyat dan sama ada dasar yang diumumkan benar-benar membawa perubahan.

Dalam hal ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui Bayan Linnas Siri Ke-260: Etika dan Adab Pilihan Raya menggariskan pengundi harus mengutamakan calon yang berkeupayaan dan berintegriti kerana kedua-dua ciri ini penting untuk memastikan pentadbiran dapat memenuhi keperluan rakyat serta membawa negeri ke arah yang lebih baik.

Pilihan raya sememangnya menemukan rakyat dengan perbezaan. Namun, ia tidak sewajarnya mengubah jiran menjadi musuh atau kawan menjadi lawan. Undilah berdasarkan rekod, kemampuan dan integriti. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading