Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MALAYSIA WAJAR PERTIMBANG SEMULA KEBERADAAN PEJABAT UNHCR DI NEGARA INI

UTAMA

MALAYSIA WAJAR PERTIMBANG SEMULA KEBERADAAN PEJABAT UNHCR DI NEGARA INI

Malaysia wajar mempertimbangkan semula keberadaan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya badan antarabangsa itu enggan bekerjasama dalam melaksanakan saringan ketat terhadap pemohon kad pelarian.

SEREMBAN: Malaysia wajar mempertimbangkan semula keberadaan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya badan antarabangsa itu enggan bekerjasama dalam melaksanakan saringan ketat terhadap pemohon kad pelarian.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kewujudan pejabat UNHCR ketika ini dilihat seolah-olah menjadi “magnet” yang menarik kemasukan lebih ramai pelarian, khususnya etnik Rohingya ke Malaysia.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengusahakan mekanisme bagi memastikan proses saringan dilaksanakan secara bersama antara UNHCR dan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang kad pelarian dikeluarkan.

“Kita mahu supaya ada kerjasama dan tapisan ketat dilakukan. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada saya, sudah sampai masanya untuk kita menimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara supaya kita tidak terus terbeban,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, di sini hari ini.

Perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain menggesa Perjanjian Negara Tuan Rumah disegerakan bagi menetapkan garis panduan dan kawalan lebih ketat terhadap pengeluaran kad UNHCR.

Beliau turut membangkitkan isu proses permohonan kad pelarian yang didakwanya terlalu mudah sehingga membolehkan individu membuat permohonan secara dalam talian dari negara asal sebelum memperoleh kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia.

“Sekarang ini tak ada SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bagi lepas buat dalam talian… dia di Myanmar, dia dah buat dalam talian, datang sini ambil kad terus. Jadi saringan kita tak ada, ini yang kita perlu uruskan,” katanya.

Semalam, media melaporkan ratusan etnik Rohingya berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading