
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa pentadbiran negara itu mengambil tindakan terhadap Malaysia susulan pendirian tegas kerajaan berhubung Israel serta siasatan terhadap Network School.
“Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk menentukan dasar luar, dasar imigresen dan langkah keselamatan negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip undang-undang antarabangsa, tanpa tekanan atau campur tangan mana-mana pihak,” kata Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendirian Malaysia terhadap Palestin bukan didorong kepentingan politik semasa, sebaliknya berasaskan prinsip keadilan, penolakan terhadap penjajahan serta penghormatan terhadap hak sesuatu bangsa untuk menentukan nasib sendiri.
Ahmad Fahmi turut menolak dakwaan yang melabel pendirian Malaysia sebagai antisemitik.
“Malaysia tidak pernah memusuhi mana-mana bangsa atau agama. Sebaliknya, negara ini secara konsisten menolak penjajahan, apartheid, genosid dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia. Mengkritik dasar rejim Zionis Israel bukanlah suatu bentuk kebencian terhadap masyarakat Yahudi,” katanya.
Mengenai isu Network School, beliau berkata siasatan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia mengikut proses perundangan yang bebas, telus dan berlandaskan fakta.
Beliau turut menegaskan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat wajar terus diperkukuhkan berasaskan prinsip saling menghormati, dialog yang konstruktif serta kepentingan bersama, bukannya melalui tekanan politik atau cubaan mempengaruhi dasar sesebuah negara. — AlHijrah Online.