Connect with us

ALHIJRAH NEWS

UTAMAKAN HAK JENAZAH, BUKAN PERTIKAIAN

UTAMA

UTAMAKAN HAK JENAZAH, BUKAN PERTIKAIAN

Sekiranya timbul kekeliruan atau pertikaian dalam proses pengurusan jenazah, keutamaan perlu diberikan kepada hak jenazah, bukannya kepentingan peribadi atau perkara yang boleh melengahkan urusan pengebumian.

KUALA LUMPUR: Islam mengajar umatnya supaya mengutamakan pengurusan jenazah dan menyegerakan pengebumian sebagai tanda memuliakan insan yang telah meninggal dunia.

Pendakwah bebas, Anas Mokhtar berkata, sekiranya timbul kekeliruan atau pertikaian dalam proses pengurusan jenazah, keutamaan perlu diberikan kepada hak jenazah, bukannya kepentingan peribadi atau perkara yang boleh melengahkan urusan pengebumian.

Menurutnya, Islam menetapkan pengurusan jenazah sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang permasalahan, waris serta semua pihak yang terlibat hendaklah mengutamakan hak jenazah, merujuk pihak berautoriti serta menolak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kemuliaan si mati.

“Islam mengajar kita untuk memberikan keutamaan kepada pengurusan jenazah. Sekiranya berlaku kekeliruan ataupun permasalahan, pihak waris perlu meletakkan beberapa perkara. Yang pertama sekali, mengutamakan hak kepada jenazah demi menjaga kemuliaan jenazah. Yang kedua, mencari ataupun merujuk kepada pihak berautoriti sekiranya berlaku permasalahan.

“Yang ketiga, menolak sebarang spekulasi sekiranya ada masalah yang timbul berkaitan dengan kepentingan peribadi dan sebagainya. Yang keempat, jagalah maruah, adab dan lakukanlah pengurusan jenazah dengan penuh hikmah,” katanya.

Dalam masa sama, Anas berkata setiap individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan sebarang isu dengan segera supaya tidak menjejaskan hak jenazah.

Katanya, kelewatan yang berpunca daripada kecuaian, perebutan kuasa, kepentingan peribadi atau sengaja melengah-lengahkan urusan tanpa alasan syarie merupakan perbuatan yang berdosa.

“Pada asalnya, setiap daripada mereka yang terlibat dalam pengurusan jenazah ini bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan ini. Jika kelewatan ini berpunca daripada kecuaian, perebutan kuasa, kepentingan peribadi atau sengaja dilewatkan tanpa sebarang alasan syarie, maka ianya berdosa,” katanya.

Beliau menegaskan, pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah yang sangat dititikberatkan dalam Islam dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan syarak.

Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya meletakkan amanah, tanggungjawab dan kepatuhan kepada syariat sebagai keutamaan bagi memastikan setiap urusan jenazah dapat disempurnakan dengan penuh penghormatan serta memelihara kemuliaan si mati.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading