
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian bagi memberi laluan kepada penyusunan semula sistem pengurusan menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata keputusan itu dibuat oleh Kabinet bagi memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih tersusun di bawah kawal selia kerajaan.
“Kita telah melalui keputusan Kabinet, mengarahkan UNHCR menghentikan sebarang pendaftaran pelarian buat masa ini kerana kita sedang menyusun semula pelaksanaan program DPP.
“Melalui DPP, kerajaan dapat mengurus data dengan lebih tersusun termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan melalui proses yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan hanya individu yang layak didaftarkan, di samping menghalang kemasukan pendatang tanpa izin pada masa depan.
Malaysia turut meneruskan pendekatan pelbagai hala dengan Myanmar dan negara anggota ASEAN bagi memastikan isu pelarian Rohingya ditangani secara lebih serius.
Langkah itu penting memandangkan Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 selain mengambil kira kesan pengurusan pelarian terhadap masyarakat tempatan.
Sementara itu, Lukanisman memaklumkan kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini berada di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang selepas kerajaan Myanmar bersetuju menerima mereka kembali, menggunakan kapal tentera laut tertakluk kepada proses penyelesaian. — AlHijrah Online