
SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun berdepan tekanan daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, pendirian itu dibuat bagi mempertahankan hak rakyat Malaysia serta sebagai bantahan terhadap kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Mereka boleh buat ugutan, tapi saya akan tegas pertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Rakan Muda di sini hari ini.
Dasar menyekat kemasukan warganegara Israel bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak puluhan tahun dan sepatutnya diketahui oleh pihak AS.
Beliau mengulas surat yang dihantar lapan Ahli Kongres AS kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Malaysia berhubung kehadiran rakyat Israel di negara ini.
“Mana mungkin wakil-wakil rakyat negara mereka boleh memadamkan kenyataan tentang pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menaklukkan negeri dan tidak mampu bercakap apa-apa.
“Malaysia ini negara merdeka, kita bebas menyuarakannya,” katanya.
Mengulas dakwaan mengaitkan Malaysia dengan Hamas, Anwar berkata beliau tidak pernah berselindung mengenai pertemuannya dengan pemimpin kumpulan itu sebelum ini, yang dibuat atas dasar menyatakan simpati kepada keluarga mangsa pengeboman dan pembunuhan.
Sehubungan itu, beliau menolak kritikan Ahli Kongres AS berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.