
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Selangor, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.23 malam itu, polis turut menahan pemandu kereta warga asing berusia 28 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suspek melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang sedang berhenti di persimpangan empat kerana lampu isyarat merah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu suspek melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang sedang berhenti di simpang empat kerana lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah sebelum mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah, Puncak Alam untuk bedah siasat.
Suspek memiliki lesen memandu yang sah, manakala ujian saringan awal alkohol dan dadah ke atasnya didapati negatif, kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 bagi membantu siasatan. — AlHijrah Online