
KULIM: Tiga individu maut manakala dua lagi terselamat selepas dihanyutkan arus deras ketika fenomena kepala air melanda Sungai Sedim.
Kejadian berlaku di Sedim Rainforest Resort, Karangan, dengan tiga mangsa yang maut ditemukan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 2.27 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Mohamad Yazan Yahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila fenomena kepala air melanda kawasan air terjun sehingga menyebabkan beberapa mangsa dihanyutkan arus deras.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang maut terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.
“Pasukan bomba segera menjalankan pencarian di kawasan puncak bukit serta sepanjang aliran sungai.
“Hasil maklumat orang awam, semua tiga mangsa berjaya dikesan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit sebelum dibawa keluar oleh pasukan bomba,” katanya. — AlHijrah Online.