Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PINDAAN AKTA 333: SELARI USAHA DIYAT, PESALAH JALAN RAYA PERLU BAYAR PAMPASAN SEBAGAI HUKUMAN TAMBAHAN- ZULKIFLI

DALAM NEGARA

PINDAAN AKTA 333: SELARI USAHA DIYAT, PESALAH JALAN RAYA PERLU BAYAR PAMPASAN SEBAGAI HUKUMAN TAMBAHAN- ZULKIFLI

Zulkifli berkata pindaan mandatori ini menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi akan bertoleransi dengan pembunuh di jalan raya.

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah perundangan ini amat selari dengan usaha yang sedang digerakkan pihaknya dalam meneliti pelaksanaan mekanisme diyat, iaitu pampasan berasaskan syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Feb lepas.

“Pihak kami sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan mekanisme pampasan mahkamah ini bersifat adil, kalis kelompangan dan mampu memberikan perlindungan hak kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta 333 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa sebagai hukuman tambahan, selain hukuman sedia ada.

Zulkifli berkata ketegasan Kementerian Pengangkutan dalam isu ini membabitkan pesalah jalan raya terutamanya pemandu mabuk dan khayal akibat dadah amat tepat.

“(Pesalah) tidak boleh dibiarkan terlepas sekadar dengan hukuman penjara dan denda, sebaliknya wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya secara kewangan demi membela nasib waris mangsa.

“Tragedi yang meragut nyawa mangsa kemalangan akibat kecuaian melampau seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah jenayah yang tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya.

Zulkifli berkata pindaan mandatori ini menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi akan bertoleransi dengan pembunuh di jalan raya.

“Ia sekali gus memastikan keadilan buat mangsa ditegakkan dengan pantas tanpa perlu melalui proses sivil yang berlarutan,” katanya. — BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading