
CHEMOR: Seramai 3,000 warga pondok dan sekolah agama, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga setempat menghadiri Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 hari ini.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut YADIM, program itu bertujuan memperkasa institusi pendidikan Islam agar terus menjadi agenda utama kerajaan dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Antara pengisian utama ialah Bicara Murobbi bertemakan Peranan Ulama dan Umara dalam Pembangunan Negara yang menampilkan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Ustaz Mohamad Saifuddin Abdul Latiff.
Turut berlangsung sesi Town Hall Masa Depan Islam di Malaysia bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Kemuncak program menyaksikan majlis perasmian serta amanat Perdana Menteri yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Selain pengisian ilmiah, HIPSA 2026 turut menyantuni masyarakat menerusi penyerahan barangan keperluan dapur, sumbangan kepada pondok dan sekolah agama, tajaan yuran pelajar serta pelaksanaan Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah, reruai pameran Islam dan persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC.
HIPSA 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan institusi dakwah dalam memperkukuh pendidikan Islam sebagai asas pembentukan masyarakat MADANI yang berilmu, berintegriti dan berakhlak. — AlHijrah Online