KUALA LUMPUR: Trend penggunaan suntikan kurus kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia apabila pelbagai jenama ubat penurunan berat badan mudah diperoleh sama ada di klinik, farmasi mahupun menerusi jualan atas talian.
Di sebalik dakwaan mampu menurunkan berat badan dengan cepat, Pakar Perunding Pembedahan Bariatrik, Dr Abdul Gafoor Abdul Mubarak mengingatkan bahawa rawatan tersebut bukan sesuai untuk semua individu dan penggunaannya tanpa penilaian serta pemantauan doktor boleh mendedahkan pesakit kepada pelbagai risiko komplikasi kesihatan.
Menurut beliau, ubat suntikan berasaskan hormon GLP-1 seperti Mounjaro, Ozempic dan Retatrutide sememangnya berkesan membantu mengurangkan selera makan serta berat badan, namun hanya kumpulan pesakit tertentu yang benar-benar sesuai menggunakannya.
“Salah faham yang paling utama ialah semua pesakit sesuai menggunakan ubat ini. Sebenarnya tidak. Hanya sekumpulan kecil pesakit sahaja yang sesuai.
“Secara umumnya, mereka yang mengalami berat badan berlebihan dan obesiti kelas satu lebih mendapat manfaat daripada rawatan ini. Bagi pesakit obesiti kelas dua, kelas tiga atau yang mempunyai komplikasi seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan sleep apnea, suntikan ini mungkin membantu sedikit tetapi tidak menyelesaikan punca utama masalah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa suntikan kurus bukan jalan pintas untuk mendapatkan berat badan ideal.
Katanya, keberkesanan rawatan bergantung kepada perubahan gaya hidup termasuk pemakanan yang sihat, pengambilan protein yang mencukupi serta amalan senaman secara konsisten.
“Jika suntikan ini digunakan tanpa kawalan pemakanan yang betul dan tanpa bersenam, rawatan tidak akan berjaya. Malah apabila ubat dihentikan secara mengejut, berat badan boleh meningkat semula, malah berisiko melebihi berat asal,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr Abdul Gafoor menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan promosi atau trend suntikan kurus yang dijual tanpa pemantauan pakar.
Sebaliknya, beliau menggesa individu yang ingin mendapatkan rawatan penurunan berat badan supaya menjalani penilaian bersama doktor bertauliah terlebih dahulu bagi memastikan kaedah yang dipilih benar-benar sesuai, selamat dan berkesan mengikut tahap kesihatan masing-masing.–AlHijrah Online