Connect with us

ALHIJRAH NEWS

AKTA 333: ABIM DAN YADIM SOKONG PESALAH JALAN RAYA BAYAR PAMPASAN KEPADA MANGSA

DALAM NEGARA

AKTA 333: ABIM DAN YADIM SOKONG PESALAH JALAN RAYA BAYAR PAMPASAN KEPADA MANGSA

Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris terus mendapat sokongan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris terus mendapat sokongan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Dalam kenyataannya, ABIM menyifatkan reformasi Akta 333 sebagai pembaharuan penting yang bukan sekadar meminda undang-undang lalu lintas, sebaliknya membina sistem keadilan jalan raya yang lebih berperikemanusiaan.

“Reformasi Akta 333 bukan sekadar pindaan terhadap undang-undang lalu lintas. Ia merupakan pembaharuan penting ke arah membina sistem keadilan jalan raya yang lebih berperikemanusiaan, mengangkat hak mangsa, memperkukuh akauntabiliti pesalah serta memupuk budaya masyarakat yang lebih menghormati nilai kehidupan,” menurut kenyataan itu.

ABIM turut menyambut baik pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan bahawa cadangan itu selari dengan prinsip keadilan dalam Islam serta membuka ruang kepada penelitian konsep diyat dalam kerangka perundangan negara.

Menurut ABIM, diyat tidak seharusnya difahami sebagai pampasan kewangan semata-mata, sebaliknya manifestasi keadilan Islam yang mengiktiraf hak mangsa, menegaskan tanggungjawab pesalah serta mengangkat kesucian nyawa manusia.

Sementara itu, YADIM menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pindaan Akta 333 dan menegaskan keadilan tidak seharusnya terhenti dengan hukuman terhadap pesalah.

“Hukuman yang sebenar bukan sekadar memenjarakan pesalah, tetapi memastikan hak mangsa dipulihkan. Keadilan tidak boleh berhenti dengan sabitan di mahkamah, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada pembelaan terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang, pencari nafkah atau menanggung kecacatan sepanjang hayat.”

ABIM turut mengemukakan tiga syor utama iaitu membangunkan Kerangka Nasional Keadilan dan Pampasan Mangsa Kemalangan Jalan Raya, memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) melalui pendidikan dan pemulihan, serta menubuhkan Jawatankuasa Khas Bersama bagi mengkaji reformasi sistem keadilan jalan raya termasuk kesesuaian mengadaptasi prinsip Syariah seperti konsep diyat.

YADIM pula menegaskan pihaknya akan terus memperkasa agenda advokasi, pendidikan masyarakat dan kesedaran awam bagi membudayakan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading