
KUALA LUMPUR: “Ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak. Namun apabila berakhir, padang bersejarah ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.”
Demikian catatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di media sosial susulan rasa kekesalan selepas Dataran Merdeka di ibu kota, yang menjadi tumpuan aksi ‘final’ Piala Dunia 2026, dicemari sampah sarap.
Katanya, hakikinya petugas DBKL akan turun mengutip sampah yang ditinggalkan, tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya bergantung pada pekerja pembersihan selepas orang ramai pulang.
“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara. Cara kita meninggalkannya mencerminkan cara kita menghargainya.
“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama,” kata DBKL dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya lagi, kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut kecewa apabila Dataran Merdeka yang menjadi tempat rakyat Malaysia bersorak dan bergembira ditinggalkan dalam keadaan kotor.
“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.
“Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri,” katanya.
Ujar Hannah, Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi acara, ia sebahagian daripada sejarah negara dan maruah negara.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan bahawa kemajuan bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal tetapi juga melalui sikap kita dalam menghormati dan menjaga ruang awam.
“Terima kasih sekali lagi kepada seluruh pasukan DBKL yang bertugas. Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya.—AlHijrah Online