
Bola sepak sekali lagi membuktikan kemampuannya menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang. Namun, sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan dan orang ramai beredar, yang tinggal ialah pemandangan yang jauh lebih menyesakkan daripada sorakan sepanjang perlawanan. Padang bersejarah itu dipenuhi botol plastik, bekas makanan, bungkusan dan pelbagai jenis sampah yang ditinggalkan begitu sahaja.
Ironinya, lokasi itu bernama Dataran Merdeka.
Negara ini sudah lama bebas daripada penjajahan. Malangnya, sebahagian daripada kita masih gagal membebaskan diri daripada sikap yang membelenggu masyarakat sejak sekian lama. Kita mahu menikmati ruang awam, tetapi enggan memikul tanggungjawab terhadap ruang yang sama. Kita menuntut hak untuk meraikan, namun sampai bila kewajipan yang paling asas terus dipandang ringan?
Inilah bentuk penjajahan yang paling halus. Penjajahan oleh sikap sendiri.
Kita sering beranggapan kebersihan ialah tugas petugas pembersihan, seolah-olah mereka diwujudkan untuk mengutip segala yang kita tinggalkan. Apabila sudah ada pasukan yang akan membersihkan kawasan, segelintir masyarakat merasakan mereka bebas meninggalkan apa sahaja di tempat mereka berdiri.
Hakikatnya, petugas kebersihan menjalankan amanah untuk menjaga bandar. Mereka tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
Lebih menyedihkan, sikap ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Selepas festival, konsert bahkan hari kebangsaan pun, terus menjadi tapak pelupusan sampah sementara. Corak yang sama berulang kali sehingga akhirnya dianggap perkara biasa.
Kita semakin terbiasa meninggalkan kesan buruk di tempat yang kita nikmati. Sedangkan di banyak negara lain, budaya mengutip semula sampah sendiri sudah menjadi kebiasaan. Penyokong bola sepak di Jepun, misalnya, sering menjadi perhatian dunia kerana mengutip sampah di stadium selepas tamat perlawanan walaupun pasukan mereka tewas.
Mereka tidak menunggu arahan atau ganjaran. Di Malaysia pula, kita gemar memuji budaya itu apabila melihatnya di media sosial. Kita kagum, berkongsi video dan mengatakan, “Kalaulah rakyat kita macam ini.”
Hakikatnya, perubahan itu tidak akan bermula dengan orang lain. Perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri.
Jika di rumah sendiri kita sanggup menyapu lantai, mengapa apabila berada di taman, stadium atau dataran, tangan terasa begitu berat untuk membawa pulang sampah sendiri? Apakah Malaysia bukan rumah kita?
Mentaliti inilah yang perlu dikikis terlebih dahulu sebelum kita bercakap tentang menjadi masyarakat bertamadun. Bandar yang bersih tidak lahir semata-mata kerana jumlah petugas pembersihan yang ramai atau jentera yang canggih. Ia terzahir apabila rakyat mempunyai rasa malu untuk mengotorkan ruang yang dikongsi bersama.
Dataran Merdeka menyimpan nilai sejarah yang besar. Namun, nilai sesuatu tempat tidak hanya terletak pada kisah silamnya. Nilainya juga bergantung pada cara generasi hari ini menghormatinya.
Barangkali sudah tiba masanya kita berhenti degar-degarkan Malaysia perlu berubah.
Sebaliknya, kitalah yang perlu berubah.
Kerana Dataran Merdeka sudah lama merdeka.
Yang masih terjajah ialah diri sendiri. —AlHijrah Online