
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat mushaf Malaysia MADANI versi gergasi pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Nasrul Quran.
KUALA LUMPUR: Peluncuran Mushaf Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam usaha membentuk generasi al-Quran di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata mushaf berkenaan menampilkan pendekatan baharu dan segar dengan gabungan seni khat serta identiti tempatan, selain dilengkapi teknologi digital interaktif yang memudahkan masyarakat untuk mendekati al-Quran.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangunan negara mesti berteraskan nilai kemanusiaan dan panduan al-Quran agar kemajuan yang dicapai kekal berasaskan akhlak serta nilai insan.
“JPM (Hal Ehwal Agama) komited memperkukuh kefahaman al-Quran serta membina generasi yang berkemajuan, berintegriti, seimbang dan berteraskan nilai,” katanya.
Semalam Perdana Menteri melancarkan Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran, Putrajaya, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa program tadabbur al-Quran di peringkat kebangsaan.
Mushaf berkenaan merupakan antara mushaf al-Quran hibrid terawal di negara ini yang menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam tempatan dengan inovasi digital bagi membolehkan masyarakat menghayati kitab suci itu secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Setiap salinan mushaf diintegrasikan dengan kod respons pantas (QR) yang membolehkan pembaca mengakses pelbagai bahan sokongan secara digital seperti terjemahan dalam pelbagai bahasa, panduan tajwid serta penerangan berkaitan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang berkait dengan ayat al-Quran.
Ia turut menampilkan audio tilawah oleh pakar qiraat antarabangsa dari Mesir, Syaikh Ahmad Isa al-Ma’sarawi. – AlHijrah Online
Anonymous
26 March 2026 at 8:49 AM
Mantap Boss