
PUTRAJAYA: Malaysia semakin mendapat perhatian antarabangsa menerusi pembangunan ekosistem dan model wakaf inovatif, termasuk daripada Oman dan Afrika Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar berkata, perkembangan berkenaan turut menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan bagi negara yang mahu memperkukuh pembangunan wakaf.
“Malaysia bukan sahaja menjadi pengamal wakaf, malah kini berperanan sebagai pusat rujukan kepada negara-negara yang mahu membangunkan wakaf inovatif di negara masing-masing.
“Terdapat pihak dari luar negara yang datang mendapatkan pandangan dan berkongsi pengalaman Malaysia dalam usaha memperkukuh pembangunan wakaf di negara mereka,” katanya selepas ditemui pemberita di Kompleks Islam Putrajaya.
Antara inovasi yang dibangunkan YWM ialah dana dagangan bursa berciri wakaf (Waqf ETF) menerusi kerjasama dengan rakan strategik industri dan ditawarkan melalui Bursa Malaysia.
Instrumen berkenaan membolehkan masyarakat menyertai pelaburan berasaskan wakaf dengan sebahagian keuntungan pelaburan disalurkan bagi tujuan wakaf.
Dalam aspek tadbir urus pula, Malaysia mempunyai Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) bagi memperkukuh keseragaman, ketelusan dan pengurusan pelaporan kewangan institusi yang menguruskan amanah umat.
“Piawaian tersebut penting bagi memastikan semua dana yang diterima dan diagihkan melalui institusi wakaf direkodkan dalam struktur pelaporan perakaunan yang jelas,” tambahnya.
Pembangunan PPIBZW melibatkan kerjasama Jabatan Akauntan Negara, Majlis Agama Islam Negeri, YWM dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
Dr. Ridzwan turut menggalakkan institusi yang mahu menggerakkan pembangunan wakaf supaya merujuk piawaian berkenaan bagi memastikan pengurusan dana dilaksanakan secapeneraju sistematik.
Perkembangan itu mencerminkan potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi dan sosial ummah, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara peneraju pembangunan wakaf di peringkat global. — AlHijrah Online