
MONTERREY: Maghribi mencipta kejutan apabila menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia dalam aksi dramatik yang terikat 1-1 selepas masa tambahan, pada Isnin.
Penentuan penalti menjadi milik Maghribi apabila Ismael Saibari menyempurnakan sepakan terakhir dengan tenang ke penjuru kiri gawang, manakala penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen, tersilap arah lompatan.
Maghribi selepas ini akan berdepan tuan rumah bersama Kanada di Houston pada Sabtu bagi merebut tempat ke suku akhir.
Belanda terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-72, walaupun beliau berdepan detik peribadi sukar selepas baru-baru ini kehilangan bayi yang masih dalam kandungan bersama pasangannya, Noa van der Bij.
Gakpo yang memilih untuk terus bersama skuad negara tetap memecah kebuntuan apabila Wout Weghorst menanduk hantaran jauh penjaga gol kepada Crysencio Summerville, sebelum pemain itu melakukan larian dan melorongkan bola kepada Gakpo untuk disudahkan ke gawang.
Namun, kelebihan Belanda hanya bertahan sehingga masa kecederaan apabila Maghribi menyamakan kedudukan pada minit pertama masa tambahan.
Gol tersebut hadir hasil tandukan Issa Diop selepas hantaran lintang Chemsdine Talbi dari sebelah kiri gagal disekat kapten Belanda, Virgil van Dijk. — AlHijrah Online