SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mempunyai kemampuan dan pengalaman untuk kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) sekiranya Malaysia diberi peluang berbuat demikian pada masa depan.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pengalaman SIC dalam mengendalikan F1 sebelum ini masih kukuh dan mampu memastikan penganjuran acara berprestij itu berjalan lancar.
Bagaimanapun, keputusan untuk membawa kembali F1 secara tetap bergantung kepada kerajaan dengan impak ekonomi daripada penganjurannya perlu dinilai terlebih dahulu.
“Dari segi kemampuan litar, kita boleh melakukannya. Bagi kemampuan kewangan dan sebagainya, saya yakin jika kita melihat kepada impak ekonomi dan kesan gandaan, ia adalah signifikan.
“Semua pihak boleh mendapat manfaat, sedikit sebanyak, daripada apa yang sebenarnya dibawa F1 kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Malaysia 2026 di SIC, hari ini.
Menurut Mokhzani, manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 juga tidak hanya tertumpu kepada litar kerana pengunjung dijangka menginap di Kuala Lumpur selain berkunjung ke destinasi lain.
MAM sentiasa mahu melihat F1 diteruskan di Malaysia, namun keperluan kewangan yang besar untuk menganjurkan perlumbaan itu mungkin memerlukan sokongan kerajaan.
Mengulas formula kontrak yang sesuai sekiranya Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, Mokhzani berkata, kontrak lima tahun menerusi kaedah ‘3+2’ dilihat sebagai pilihan ideal bagi memberikan kepastian kepada penganjur, peminat dan pengurusan Formula 1.
“Ia biasanya kontrak selama lima tahun. Dengan aturan 3+2, kita mahu penonton yang merancang untuk datang dapat membuat persediaan. Pada tahun pertama, mereka yang tidak pernah datang ke Malaysia boleh melihat apa yang negara ini tawarkan.
“Kemudian, pada tahun kedua, mereka boleh merancang tempat penginapan dan destinasi yang mahu dikunjungi sebelum dan selepas perlumbaan F1. Ini juga akan memudahkan pengurusan F1 menyusun jadual perlumbaan kita,” katanya.
Mokhzani berkata, sambutan luar biasa terhadap perlumbaan tahun ini turut menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan peminat F1 di Malaysia apabila sebanyak 105,000 tiket dilaporkan terjual.
“Saya dimaklumkan 105,000 tiket telah terjual dan saya terkejut melihat orang ramai hadir walaupun untuk sesi latihan pada Jumaat. Sesi kelayakan semalam juga penuh dan hari ini, kita menjangkakan lebih ramai orang,” katanya.
Pada Julai lalu, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan Grand Prix Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menganjurkan Grand Prix Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1. — AlHijrah Online