Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIKET FORMULA 1 DI SEPANG BERMULA RM200 UNTUK PEMEGANG MYKAD

SUKAN

TIKET FORMULA 1 DI SEPANG BERMULA RM200 UNTUK PEMEGANG MYKAD

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman sesawang rasmi GP Bahrain, kadar istimewa itu ditawarkan khusus kepada pemegang MyKad bagi enam kategori tempat duduk dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.

KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran tempatan berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini dengan tiket tiga hari serendah RM200.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman sesawang rasmi GP Bahrain, kadar istimewa itu ditawarkan khusus kepada pemegang MyKad bagi enam kategori tempat duduk dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.

Tiket paling murah ditawarkan bagi kategori Hillstand G pada harga RM200, diikuti Hillstand B dan Hillstand C yang masing-masing berharga RM809.60.

Bagi kategori grandstand pula, tiket Grandstand F dijual pada harga RM1,291.40, Grandstand K1 RM1,386 dan Grandstand Utama RM2,083.40.

Grandstand Utama, Grandstand K1 dan Grandstand F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan di atas bumbung, manakala Hillstand B, C dan G merupakan kawasan tontonan terbuka di kawasan berumput.

Bagaimanapun, kadar istimewa itu hanya ditawarkan kepada pemegang MyKad yang layak selepas melalui proses pengesahan.

Semua urus niaga akan diproses menggunakan mata wang dinar Bahrain berdasarkan kadar pertukaran semasa ketika pembelian dibuat.

Menurut laman sesawang berkenaan, tiket diskaun yang tidak sepadan dengan maklumat MyKad atau tidak memenuhi syarat kelayakan akan dibatalkan.

Kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun pula layak menerima diskaun sebanyak 25 peratus bagi semua kategori kecuali Hillstand G, manakala kanak-kanak berusia bawah tiga tahun dibenarkan masuk secara percuma tanpa tempat duduk yang dikhaskan.

Sementara itu, semakan mendapati permintaan tinggi dalam kalangan peminat Malaysia menyebabkan pembelian tiket secara dalam talian terganggu buat sementara waktu.

Penganjur memaklumkan mereka sedang berusaha menambah baik sistem pembelian dan menggesa orang ramai mengikuti saluran media sosial rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai ketersediaan tiket.

Walaupun sistem pembelian dalam talian masih mengalami gangguan, tiket masih boleh dibeli menerusi pusat panggilan GP Bahrain.

Bagi peminat antarabangsa, harga tiket yang ditawarkan jauh lebih tinggi, dengan tiket Grandstand Utama dijual pada harga AS$565.40, Grandstand K1 AS$376.20 dan Grandstand F AS$350.90, manakala tiket Hillstand B dan Hillstand C masing-masing berharga AS$220. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in SUKAN

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading