Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TORRES HANCURKAN MIMPI ARGENTINA UNTUK KEKAL JUARA DUNIA

SUKAN

TORRES HANCURKAN MIMPI ARGENTINA UNTUK KEKAL JUARA DUNIA

Jaringan tunggal Ferran Torres pada masa tambahan memastikan Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 selepas menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 dalam aksi final di Stadium MetLife, New Jersey, Amerika Syarikat pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal Ferran Torres pada masa tambahan memastikan Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 selepas menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 dalam aksi final di Stadium MetLife, New Jersey, Amerika Syarikat pada Ahad.

Gol pada minit ke-106 itu menghadiahkan gelaran dunia kedua buat skuad La Roja, sekali gus menamatkan penantian mereka untuk kembali menjulang trofi Piala Dunia sejak kejayaan bersejarah pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan tempo tinggi apabila saling menguji kekuatan sebaik wisel permulaan ditiup.

Sepanyol lebih menguasai permainan dengan mencipta tiga percubaan tepat ke arah gawang Argentina pada babak pertama, namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Argentina pula lebih banyak menunggu peluang menerusi serangan balas pantas, namun ketangkasan benteng pertahanan serta aksi cemerlang penjaga gol kedua-dua pasukan memastikan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Sepanyol terus menguasai permainan, namun penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Argentina kemudian beraksi dengan 10 pemain di penghujung separuh masa kedua selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran terhadap pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi.

Peluang terbaik Sepanyol untuk menamatkan perlawanan pada masa kecederaan turut gagal dimanfaatkan apabila sepakan percuma Lamine Yamal berjaya ditepis Martinez, sekali gus mengheret aksi ke masa tambahan.

Gol kemenangan akhirnya hadir pada minit ke-106 apabila hantaran Yamal ke dalam kotak penalti disambut Nico Williams sebelum Torres menyempurnakan gerakan itu dengan rembatan padu menewaskan Martinez.

Jaringan itu sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Sepanyol, sekali gus merampas gelaran dunia daripada Argentina dan menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak negara itu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

1 Comment

1 Comment

  1. ariq

    20 July 2026 at 1:55 PM

    Torres perform really well in this tournament👍🏻

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in SUKAN

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading